Saturday, 24 February 2018

Ajal Pegawai MDHT di hentian bas


KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam meninggal dunia selepas mendapat serangan jantung secara tiba-tiba di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, malam tadi.



Dalam kejadian lebih kurang jam 9 malam itu, mangsa, Abu Bakar Muhammad, 59, yang merupakan Pegawai Penguatkuasa Kanan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) berada di tempat kejadian untuk menghantar anaknya bertugas di Lumut, Perak.

Mangsa bersama isterinya ketika itu sedang meletakkan beg pakaian anaknya di tempat letak bagasi di hentian bas terbabit sebelum tiba-tiba hilang imbangan namun sempat dipangku isterinya sebelum tidak sedarkan diri.

Orang ramai kemudian menghubungi ambulans dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan mangsa, Jibril Mat Ali, 47, berkata, Allahyarham Abu Bakar merupakan seorang yang ramah, senang dibawa berbincang serta bergurau walaupun dia seorang pegawai kanan.

Sejak dua minggu lalu katanya, selain tiada sebarang karenah, mangsa turut menunjukkan kesungguhan dan komitmen dalam tugasnya seolah-olah petanda dia akan pergi selama-lamanya.

“Sebelum ini difahamkan mangsa pernah mendapat rawatan bagi penyakit jantung di hospital,” katanya.

Mangsa dikebumikan di kampungnya di tanah perkuburan Islam Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikan kes sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment