Saturday, 24 February 2018
Tak sangka kisah mak cik tular
DUNGUN - Kisah seorang ibu tunggal hidup daif dalam keadaan rumah uzur serba kekurangan tular di laman sosial sejak dua hari lalu.
Menerusi artikel itu, Fatimah Shah Jusoh, 52 dikatakan baharu kematian suami dan tinggal di dalam rumah yang mengalami kerosakan teruk di kampung Gong Pasir, Pak Sabah.
Sinar Harian berusaha merungkai masalah sebenar kes tersebut dan ketika dihubungi wanita yang mempunyai seorang anak itu mengakui terkejut apabila kisahnya tular di laman sosial.
Fatimah berkata, apa yang diceritakan di laman sosial itu memang betul tetapi dia tidak sangka perkara itu akan berlaku sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.
Menurutnya, dia memang tinggal di dalam rumah yang hampir runtuh dan mengalami kerosakan teruk tetapi dia tidak menyalahkan mana- mana pihak.
"Suami saya meninggal dunia 5 Januari lalu kerana serangan jantung. Sebelum ini memang kami tidak pernah membuat sebarang permohonan dengan mana-mana pihak termasuk menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana arwah suami enggan bergantung kepada orang lain.
"Dia mahu berusaha sendiri walaupun susah tetapi sekarang saya tinggal bersendirian di rumah yang terlalu uzur.
"Oleh itu saya mahu membuat permohonan bantuan rumah dari Majlis agama Islam dan adat Melayu Terengganu ( Maidam),"katanya.
Katanya, dia tidak tahu menahu tentang kisahnya yang sudah menjadi buah mulut orang ramai selepas ia viral di Facebook dan berasa bimbang sekiranya menimbulkan rasa kurang senang mana-mana pihak.
"Saya didatangi seorang kenalan bersama kawannya yang mengambil gambar dan merakam video di rumah saya tetapi katanya dia ambil untuk tujuan permohonan kepada Maidam menerusi aplikasi Whatsapp.
"Saya agak terkejut apabila dimaklumkan anak kisah saya tular di facebook dan timbul rasa bimbang sekiranya berlaku salah faham,"katanya.
Tambahnya, dia sekarang sedang berusaha membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan rumah dari Maidam dan berharap ia diluluskan.
"JKKK sudah datang ke rumah dan memaklumkan akan cop surat permohonan itu serta akan membantu.
"Memang saya harapkan rumah dibaikpulih kerana sekarang saya tinggal berseorang tetapi pada waktu malam saya sering bermalam di rumah sewa anak kerana bimbang,"katanya.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Dungun (JKM) mengambil langkah drastik membuat siasatan mengenai kes wanita itu.
Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusoff berkata, kakitangan JKM sudah menghubungi wanita berkenaan bagi mendapatkan kepastian dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.
"Kita dapati rumah yang diduduki adalah rumah pusaka dan sebelum ini tiada permohonan untuk mendapatkan bantuan dibuat kerana arwah suami mahu usaha sendiri.
"Arwah suami dan wanita itu juga tersenarai dalam program e-kasih tetapi telah melepasi tahap pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa. kita akan nilai dan berusaha membantu wanita ini mengikut kesesuaian,"katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment