Saturday, 24 February 2018
Gempar si batik lintas jalan
MARANG – Penduduk Jalan Padang Raja di sini, gempar apabila seekor ular sawa ditemukan sedang menyeberangi jalan dan dipercayai cuba memasuki rumah penduduk, malam semalam.
Kemunculan reptilia sepanjang lebih kurang tiga meter tersebut disedari sekumpulan penduduk yang kebetulan berada dekat dengan jalan utama berkenaan kira-kira jam 12.30 malam.
Penduduk terbabit, Abdullah Mamat, 63, berkata, dia ternampak ular sawa itu mahu menyeberangi jalan namun gagal apabila reptilia itu masuk ke dalam longkang dan terperangkap.
“Pada awalnya kami pelik juga apabila melihat banyak kereta di atas jalan tapi kenderaan itu bergerak perlahan. Kemudiannya barulah kami menyedari ada ular sedang menyeberangi jalan.
"Saya lega kerana ular itu tidak sempat masuk ke dalam kawasan rumah saya apabila ia jatuh ke dalam longkang dan terperangkap sebelum dikepung penduduk," katanya kepada Sinar Harian.
Difahamkan 'si batik' yang dipercayai dalam keadaan kelaparan itu datang dari dari belukar berdekatan sebelum menyeberangi jalan dan menuju ke kawasan rumah Abdullah untuk mencari makanan.
Abdullah berkata, walaupun terdapat kawasan belukar berdekatan namun itu merupakan kali pertama dia melihat ular sawa sesat yang besar cuba memasuki ke kawasan perumahan penduduk.
"Saya juga bimbang sekiranya ular itu menyerang penduduk apabila ia terasa dirinya diancam lalu segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang tiba tidak lama selepas itu," katanya.
Susulan itu, sekumpulan empat anggota APM Marang diketuai Koperal Iskandar Kamal mengambil masa kira-kira 15 minit, menangkap dan memindahkan reptilia itu ke dalam kurungan.
Reptilia itu kemudiannya dibawa ke pejabat APM Marang untuk tindakan lanjut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment