Saturday, 24 February 2018
Tiada lagi elaun jika Pakatan Harapan menang?
BALIK PULAU – Umno Bahagian Balik Pulau tidak menolak kemungkinan pemberian elaun sara hidup kepada golongan nelayan mungkin tidak diteruskan jika Pakatan Harapan berjaya merampas pentadbiran kerajaan persekutuan pada PRU14 nanti.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, tidak mungkin Pakatan Harapan mampu meneruskan pembayaran elaun tersebut kerana mereka tidak mempunyai dana dan peruntukan yang mencukupi akibat daripada cadangan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Nak bagi bantuan ini kita kena ada sumber kewangan. Pakatan Harapan kata mereka nak hapuskan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), tapi kalau mereka hapuskan GST macam mana nak cari duit bayar gaji pegawai kerajaan dan bantuan-bantuan lain.
“Memang tak ada sumber kewangan, macam mana nak bayar semua ini? sebab itu kerajaan persekutuan yang diterajui BN bijak dalam pengurusan hal ini apabila kita mengenakan kutipan cukai daripada pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Bahang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Telok Bahang, di sini, semalam.
Menurutnya, hasil kutipan cukai yang dilaksanakan kerajaan akhirnya dapat disalurkan kepada golongan miskin dan mereka yang layak menerima bantuan.
“Kalau mereka nak potong semua (cukai) dan pada masa sama nak tingkatkan gaji pegawai kerajaan, bagi bantuan, semua ini cakap macam tak masuk akal.
“Kalau mereka ambil alih kerajaan, mereka tak boleh bagi bantuan seperti yang kita salurkan. Macam mana nak cari duit kalau mereka kata nak hapuskan GST,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan GST sebenarnya menguntungkan pihak kerajaan dan rakyat secara tidak langsung.
“Dulu SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) 10 peratus, tapi malangnya dulu dalam bil tak sebut berapa harga cukai barang itu dikenakan.
“Mak cik di kampung pula kata dia tak pernah bayar cukai pun. Sebenarnya dulu dia bayar, tapi dia tak tahu dia bayar cukai,” katanya.
Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata, berbanding dengan GST pula kerajaan hanya mengenakan cukai sebanyak 6 peratus sahaja iaitu lebih rendah daripada SST.
“Rakyat Pulau Pinang kena bijak berpolitik supaya kita untung. Kita nak sokong pihak dan kerajaan yang boleh menguntungkan kita.
“Hari ini rekod kerajaan BN memang cukup cemerlang. Di Balik Pulau semuanya adalah hasil kerja daripada kerajaan persekutuan dan BN dulu,” katanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment