Saturday, 24 February 2018
Sepasang penyu mati terdampar
KEMAMAN - Sepasang penyu agar dewasa ditemui mati terdampar di Pantai Teluk Mak Nik, Chukai, di sini, kira-kira jam 7.15 pagi tadi, sekaligus mengejutkan pengunjung pantai berkenaan.
Kedua-dua bangkai penyu itu ditemui dalam jarak kira-kira 100 meter antara satu sama lain pada kedudukan sekitar dua hingga tiga meter dari gigi air.
Pengunjung pantai itu, Massnah Sudin, 57, berkata, dia dan suaminya, Mohammed Razif Abd Malik, 62, pada mulanya teruja apabila melihat kelibat penyu dari jauh ketika mereka turun ke pantai tersebut untuk mengambil angin dan menikmati panorama pantai.
Katanya yang tinggal di Kuala Lumpur, dia dan suaminya yang datang bercuti ke Kemaman bermula kelmarin sememangnya memasang niat untuk melihat penyu bertelur.
“Bila nampak dari jauh kami ingatkan penyu naik bertelur dan memang kami sangat gembira sebab dah lama sangat teringin nak tengok penyu bertelur depan mata.
“Tapi bila makin dekat kami pelik sebab tengok penyu itu kaku dan rupa-rupanya ia dah mati,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.
Bangkai penyu pertama yang dijumpai pasangan suami isteri yang memiliki empat anak itu dipercayai penyu agar jantan yang dianggarkan seberat kira-kira 100 kilogram (kg).
Namun begitu, mereka sekali lagi terperanjat selepas menemui seekor lagi bangkai penyu dari spesies sama tidak jauh dari penyu agar jantan terbabit.
Penyu kedua berkenaan adalah penyu betina yang saiznya lebih kecil daripada jantan dan dianggarkan seberat kira-kira 60 kg.
Diancam kepupusan
Menurut Massnah, penemuan dua ekor bangkai penyu itu sangat menyedihkan kerana penyu yang menjadi ikonik Terengganu ketika ini diancam kepupusan.
“Bila tengok kedua-dua penyu mati ini jantan dan betina, kami andaikan kedua-duanya mungkin pasangan. Sangat sedih kami rasa. Hajat kami nak tengok penyu hidup, tapi sayangnya dapat tengok cuma bangkai.
“Bila penyu mati macam ni rasa sayang dan rugi sangat sebab ia tarikan pelancong. Lama-lama populasi penyu pun akan makin berkurang.
“Pihak berwajib perlu menjalankan siasatan dan mencari punca kematian penyu tersebut,” katanya yang menginap di rumah rehat Kemamand Sands yang terletak di tepi pantai tersebut.
Kedua-dua ekor penyu itu sebelum itu ditemui lebih awal oleh tiga lelaki yang berjoging di pantai berkenaan dan nyaris tersepak bangkai penyu betina.
Penduduk sekitar mendakwa punca penyu itu mati mungkin disebabkan kecederaan terkena pukat pari yang banyak digunakan oleh nelayan pesisir pantai pada penghujung musim tengkujuh ketika ini.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, dari pemerhatian pada gambar yang dihantar kepada pihaknya, didapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada anggota badan salah seekor penyu terbabit yang mungkin disebabkan tersangkut pada pukat.
Malahan, kata beliau, berdasarkan aduan memang terdapat pemasangan pukat pari di sepanjang pantai tersebut hingga ke Cherating, Pahang.
“Operasi juga telah dijalankan secara berkala untuk membanteras aktiviti pukat pari tersebut, namun kurangnya kesedaran orang ramai yang hanya tahu mengambil keuntungan dengan mengambil keuntungan dengan menangkap pari telah menggalakkan penggunaan pukat pari ini berleluasa.
“Pukat pari merupakan peralatan larangan menurut Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.
Oleh itu, katanya lagi, satu operasi berskala dan mengejut akan turut dilakukan bagi membendung penggunaan pukat pari berkenaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment